Saturday, 7 May 2011

Kata2 Hasan Al-Banna.

{ Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisiMu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redhaMu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agamaMu }


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Akhir-akhir ini, saya rasa begitu tak berdaya. Allah uji dengan kelemahan. Dia hantarkan kesakitan, untuk menguji sejauh mana saya benar boleh bersabar. Dia ingin menguji sejauh mana saya yakin dengan ketentuanNya. Dia mahu uji apakah benar saya ini hamba yang sebenar-benar hamba. Dia mahu uji apa benar saya mampu mengota apa yang selalu dikata.
Sejujurnya, saya rasa saya gagal.

Saya rasa sakit dan saya banyak mengeluh. Saya rasa lemah dan saya biarkan diri rebah. Saya rasa sedih dan saya biarkan ia menguasai. Saya banyak termenung dan saya jadi lupa untuk kembali merenung.

Jadi saya pulang ke rumah di hujung minggu ingin mencari semula kekuatan. Alhamdulillah. Berada dekat dengan keluarga, saya rasa lebih gembira, lebih selamat, lebih kuat. Terasa begitu hebat nikmat keluarga.

Alhamdulillah. Hari ini saya blog-surfing seperti kebiasaan. Masya Allah. Sekilas terpandang potrait Imam asy-Syahid Hassan al-Banna di dalam blog seorang teman, saya jadi teringat. Teringat pada pesan sang murobbi agung ini yang pernah saya baca suatu ketika dahulu. Terasa seolah-olah dia berbicara semula dengan saya seperti dulu. Maka inilah juga yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat semua. Semoga kita yang senantiasa lemah ini mampu juga kembali bangkit setiap kalinya...



"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta

~ Al Ankabut: 2-3 ~





***************

1. Ya akhi, janganlah engkau hidup tanpa matlamat. Sesungguhnya Allah tidak menciptakanmu dengan sia-sia dan Dia tidak meninggalkanmu begitu saja

2. Ya akhi, jadikan Allah itu matlamatmu. Dengarilah seruanNya yang bermaksud: "Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu" (Az-Dzariyat: 50)

3. Ya akhi, sesungguhnya apa yang kau bimbangi di dalam kehidupan ini hanya dua perkara: rezekimu dan ajalmu. Dan tidak ada siapa yang dapat menentukan kedua-duanya untukmu kecuali Allah. Maka janganlah kebimbangan terhadap kedua-dua perkara itu menghalangmu daripada menegakkan kebenaran

4. Ya akhii, sesungguhnya umat hanya akan maju dengan pengorbanan. Dakwah hanya akan tegak dengan kesetiaan. Sekiranya engkau hidup untuk umatmu maka berkorbanlah untuk kemajuannya. Dan sekiranya engkau yakin kepada dakwahmu maka berusahalah untuk setia kepadanya

5. Ya akhi, janganlah engkau berkata apa yang engkau tidak buat. Janganlah engkau terpedaya sekiranya manusia menganggap engkau telah bekerja. Apa yang engkau perlu fikirkan ialah Allah mengetahui bahawa engkau benar-benar bekerja. Sesungguhnya manusia sekali-kali tidak dapat melindungimu daripada Allah

6. Ya akhi, tiada seorangpun dari kalangan sahabatmu yang dapat bersama denganmu selain daripada di dunia ini. Namun di sana terdapat seorang sahabat yang akan sentiasa menemanimu di dunia ini dan di akhirat sana. Sahabat itu ialah amal soleh. Maka cubalah sedaya mampumu untuk menjadikannya sebagai sahabatmu setiap waktu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: "Hai Rasul-Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al-Mukminun: 51)





"Barangsiapa berusaha 'iffah (menghindar dari yang tidak terpuji) nescaya Allah menjadikannya 'iffah, dan barangsiapa yang merasa cukup nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya." (HR Bukhari)



7. Ya akhi, Allah melihat kepada hatimu. Maka berhati-hatilah. Jangan engkau kotori hatimu dengan perbalahan. Sesungguhnya perbalahan itu merupakan hijab di dunia dan azab di akhirat. Firman Allah bermaksud: "(iaitu) pada hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih." (Asy-Syuaraa': 88-89)

8. Ya akhi, berusahalah untuk yakin kepada fikrahmu sehingga ke tahap segala cita-cita dan usahamu tunduk kepadanya. Dengarilah firman Allah Taala bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar." (At-Taubah: 119)

9. Ya akhi, ketika engkau berusaha untuk mencapai matlamat, engkau mesti yakin kepada dua perkara iaitu, engkau akan berjaya dan melaksanakan apa yang diwajibkan ke atasmu. Seandainya perkara pertama tidak sempat engkau raih, engkau tidak terlepas perkara kedua. Firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: 'Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?' Mereka menjawab: 'Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa." (Al-A'raf: 164)

10. Ya akhi, engkau pasti akan mati. Makan jadikanlah kematianmu di jalan Allah. Sesungguhnya kemusnahan dalam menegakkan kebenaran itulah sebenar-benar keabadian. Sesungguhnya pada hari engkau gugur syahid engkau memperolehi kemuliaan, ganjaran, keabadian dan kehidupan. Pada masa yang sama engkau tidak rugi suatu apapun selama-lamanya. Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki'" (Al-'Imran: 169)



Dari murabbimu,
Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna
Akhbar Mingguan Ikhwan Muslimin, thn ke 4, bil 34, Disember 1936





Kuatkanlah Iman!

Teguhkanlah Tauhid!

Bulatkanlah Tekad!

Bersihkanlah Niat!

Sempurnakanlah Amal!

No comments:

Post a Comment